Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (Al-Baqarah: 261)
Pengenalan Wakaf Pendidikan MAIK UMK
Wakaf Pendidikan MAIK UMK secara rasminya telah membuat perjanjian usahasama di antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam pengurusan Wakaf Pendidikan MAIK UMK di UMK khasnya dan di Negeri Kelantan amnya.
Allah S.W.T. menjelaskan dalam ayat di atas betapa besarnya nilai amalan menderma sehinggakan segala kebaikan yang dilakukan tidak akan sempurna sehinggalah seseorang itu mendermakan hartanya di jalan Allah. Amalan menderma ini meliputi amalan berwakaf.
Wakaf Pendidikan MAIK UMK ini bertujuan merealisasikan hasrat untuk menyediakan lebih banyak peluang kemudahan, bantuan kos pengajian dan menjaga aspek kebajikan pelajar-pelajar UMK. Lebih banyak kebaikan yang akan dikecapi oleh warga pelajar UMK dengan berjayanya Wakaf Pendidikan MAIK UMK ini.
Wakaf dan Maqasid Shariah
Wakaf merupakan amalan sedekah yang terpuji dan amat bertepatan dengan tujuan Shariah iaitu Maqasid Shariah. Menerusi amalan berwakaf, manfaat wakaf akan mengalir dalam masyarakat dan membawa kepada kesejahteraan semua. Wakaf akan memastikan penggunaan kekayaan Islam ke arah maslahat Ummah secara khasnya dan manfaat kepada semua masyarakat secara amnya tanpa mengira kaum dan agama.
Wakaf juga merupakan suatu amalan yang menjadi pemangkin ekonomi negara dan Ummah kerana menerusi amalan berwakaf, suatu harta itu akan terpelihara dan terjaga tanpa penyusutan nilai kerana urustadbir yang baik merupakan manifesto rukun dan syarat wakaf itu tersendiri.
Wakaf dan kemaslahatan insan
Wakaf membawa kesejahteraan kepada semua insan. Amalan berwakaf akhirnya akan menuju kepada realisasi saranan urustadbir terbaik, kemasyarakatan dan kemaslahatan alam sekitar (ESG). Pengurusan harta dan kekayaan Islam menerusi amalan berwakaf akan turut membawa kepada kesan jangkamasa panjang yang akan mengurangkan jurang kemiskinan dan menambahbaik sistem pendidikan menerusi pelbagai impak terhadap university, pelajar dan komuniti juga.
Anda boleh berperanan dalam memberikan impak yang besar dengan menyertai projek wakaf pendidikan ini. Dari sumbangan kecil hingga menjadi rakan dalam program-program kami, setiap sumbangan memiliki nilai yang besar. Mari bersama-sama memberikan peluang kepada generasi akan datang untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti, membantu mereka mengubah kehidupan dan masa depan komuniti mereka.
PROJEK WAKAF PENDIDIKAN MAIK UMK
Projek-projek wakaf yang boleh dibangunkan di UMK seperti pembangunan kemudahan pelajar, inisiatif fasiliti keperluan pelajar seperti wakaf kenderaan, wakaf penapis air, wakaf peralatan keselamatan dan sebagainya. Biasanya kita mendengar tentang wakaf buku, wakaf amal, wakaf penyelidikan dan wakaf dalam penajaan pengajian. Kesemua manfaat dari sumbangan wakaf ini dapat memberi banyak kebaikan dan manfaat kepada warga UMK dan terutamanya kepada para pelajar.